Sunday 30 October 2011

HAKIKAT ALAM JIN DAN RAWATAN BERKAITANNYA BERDASARKAN AL-QURAN DAN AL-SUNNAH (PART 1)

Kebelakangan ini, sering kali mendengar ada sahaja sahabat-sahabat yang telah diganggu oleh makhluk jin atau lebih dikenali sebagai gangguan Histeria. Semoga mereka beroleh kesembuhan..Amin..Di sini ingin saya kongsikan sedikit perkongsian ilmu mengenai hakikat alam jin dan rawatan berkaitannya berdasarkan Al-quran dan Al-sunnah yang telah disampaikan oleh Ustaz Nik Anwar Bin Zakaria Al-Basuti dimana pengisian ini telah beliau sampaikan pada semester lalu lau tak silap, di Surau Nur Eman yang dianjurkan oleh Unit Pengurusan Surau Kg E..moga ada manfaatnya untuk kita semua…^_^

HIKMAH SAKIT

1. peringatan bahawa manusia itu lemah
  يريد الله أن يخفف عنكم وخلق الانسان ضعيفا

  “Allah hendak memberikan keringanan kepadamu,dan manusia dijadikan bersifat lemah”   (al-Munafiqun:28)
  
Hasan al-Basri:”maksudnya:manusia dijadikan dalam keadaan lemah dari segi struktur fizikalnya apabila ia ditimpa sesuatu perkara biarpun kecil,ia akan merasa sakit”

2. Penghapusan dosa/diangkat darjat

  ما يصيب المسلم من نصب ولا وصب ولا هم ولا حزن ولا أذى ولا غم حتى الشوكة يشاكها الا كفر الله بها منه خطاياه
 
“Tidak ada sesuatupun yang menimpa diri seseorang muslim sama ada keletihan,musibah, rasa resah,kesedihan,sakit, gelisah sehinggakan duri di jalanan melainkan Allah akan menghapuskan dosanya”(al-Bukhari)

Ibn Hibban menambah”…..dan diangkat darjatnya satu darjat”

Syeikh Izzuddin bin Abdussalam menegaskan sebahagian orang yang jahil merasakan musibah yang menimpa mendapat pahala-ini merupakan kesalahan yang ketara-balasan pahala bukan daripada musibah tersebut tetapi diatas kesabaran dan keredhaan menghadapinya.

Berkata al-Qarafi:”musibah merupakan penghapus dosa samada disertai dengan redha atau tidak.tetapi apabila disertai dengan redha,besarlah penghapusan dosanya.
 (Fath al-Bari: Kitab al-Mardha)

AL-QURAN SEBAGAI PENAWAR

1. Fussilat:44
Katakanlah:”al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang2 beriman

2. al-Isra’ : 82
Dan kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang beriman”

3.عليكم بالشفاءين:العسل والقرءان
Keatasmu dua penawar: Madu dan al-Quran.(Ibn Majah)

4.ان لكل داء دواء,فاذا أصاب داء الداء برء باذن عز وجل
“Sesungguhnya bagi setiap penyakit itu ada ubat.maka apabila ubat itu serasi dengan penyakit ia akan sembuh dengan izin Allah Azza Wajalla”
(Muslim daripada hadis Abi al-Zubair daripada Jabir.

ALAM JIN SATU HAKIKAT BUKANNYA KHURAFAT

KEWAJIPAN BERIMAN KEPADA  GHAIB:

“Alif laam miin. Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.  (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-Kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka Itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”  surah al-Baqarah: Ayat 1-5:

DALIL-DALIL KEWUJUDAN JIN DARIPADA AL-QURAN:

Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan al- Quran, Maka tatkala mereka menghadiri pembacaanNya, lalu mereka berkata: "Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)". Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan. [surah al-Ahqaf :29]

Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tentaranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan). [surah al-Naml: 17]
Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungankepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan. [surah al-Jinn: 6]

DALIL-DALIL KEWUJUDAN JIN DARIPADA AL_SUNNAH

1) Daripada ‘Amir berkata: Aku bertanya ‘Alqamah, Adakah Ibn Ma’ud menyaksikan peristiwa ketika Rasulullah s.a.w. diundang jin pada satu malam? Dia berkata maka ‘Alqamah berkata: Aku telah bertanya Ibn Mas’ud: Adakah salah sesiapa di kalangan kamu yang menyaksikan bersama Rasulullah s.a.w. pada malam Nabi s.a.w. diundang jin. Ibn Mas’ud menjawab: Tidak. Tetapi kami bersama-sama Rasulullah pada satu malam, tiba-tiba kami kehilangan Rasulullah s.a.w. sehingga kami terpaksa mencari Baginda ke beberapa lembah dan kampong. Kemudian kami menyangka Rasulullah s.a.w. dibawa terbang atau terbunuh. Pada malam itu kami terpaksa bermalam di tempat satu kaum. Apabila pagi, tiba-tiba Rasulullah s.a.w. datang dari arah Hira’.

Lalu kami bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w. kami kehilanganMu, lalu kami mencariMu tetapi tidak jumpa sehingga kami terpaksa bermalam di tempat satu kaum. Rasulullah s.a.w. menjawab: Aku telah didatangi pengundang dari bangsa jin, lalu aku pergi bersamanya, kemudian aku membacakan al-Quran kepada mereka. Ibn Mas’ud berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w. pergi bersama kami dan menunjukkan kepada kami kesan-kesan mereka dan kesan-kesan api mereka.Mereka bertanya tentang makanan jin, lalu Baginda bersabda: Untuk kamu bagi setiap tulang yang disebutkan nama Allah ketika menyembelihnya yang diselaputi daging-daging yang jatuh ke tangan kamu. Dan setiap najis binatang ternakan menjadi makanan binatang ternakan kamu. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Kerana itu, janganlah kamu beristinjak dengan kedua-duanya kerana kedua-duanya menjadi makanan saudara-saudara kamu di kalangan jin. –[Riwayat Muslim]

2) Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah sa.w. bersabda: “Aku melihat kamu amat menyukai kambing dan padang tempat mengambala. Apabila kamu berada di tengah kambing-kambingmu dan padang gembalaan, lalu kamu azan seperti solat, maka tinggikanlah suaramu ketika azan. Sesungguhnya tidaklah jin, manusia dan apa-apa sahaja yang mampu mendengar sejauh mana suara muazzin, melainkan akan menjadi saksi untuknya pada hari Qiamat. –[Riwayat al-Bukhari]

3) Daripada Ibn ‘Abbas berkata: “Rasulullah s.a.w. berangkat bersama dengan rombongan para sahabat menuju ke pasar Ukaz. Pada ketika itu, syaitan dihalangi daripada mendapatkan berita langit dan mereka dilempari dengan panah api. Maka mereka kembali kepada kaum mereka lalu berkata: “Ada yang menghalang kami daripada mendapatkan berita langit. Kaum mereka berkata: Keadaan ini berlaku kerana terdapat sesuatu yang luar biasa berlaku. Pergilah ke bumi sebelah timur dan barat. Sekumpulan jin daripada mereka menuju kea rah Tihamah iaitu mengikuti Nabi s.a.w.. Baginda s.a.w. berada di bawah pohon tamar dalam perjalanan ke Ukaz. Pada saat itu, Baginda sedang mengimami solat Subuh bersama para sahabat. Ketika mereka mendengar bacaan al-Quran, mereka memperhatikannya lalu berkata: Inilah yang menghalang kita daripada mendapatkan berita langit.

Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka lalu berkata: Wahai kaumku! Sesungguhnya kami mendengar bacaan yang mengagumkan, yang boleh menunjukkan kami kepada kebenaran, maka kami beriman kepadanya dan tidak akan menyekutukan Tuhanku dengan sesiapa pun. Maka Allah menurunkan kepada Nabi s.a.w. ayat:
(Katakanlah, telah diwahyukan kepadaku, bahawasanya sekumpulan jin telah mendengar bacaan al-Quran.” Diwahyukan kepada Baginda s.a.w. perkataan jin. –[Riwayat al-Bukhari]

ASAL KEJADIAN JIN:

Ayat-ayat al-Quran dan al-hadith menjelaskan jin dicipta daripada api. Firman Allah s.w.t:
 “Dan dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang.” –[al-Rahman:15]
Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah, Mujahid dan al-Hasan berkata: Marij:bermaksud lidah api. Dalam riwayat lain daripada inti pati api (setulen-tulen api).

Imam al-Nawawi berkata ketika menghuraikan hadith Muslim:
"المارج: اللهب المختلط بسواد النار."
“al-Marij: Lidah api yang bercampur dengan api hitam.”

Firman Allah s.a.w:
 “Dan jin pula, Kami jadikannya sebelum itu, daripada api yang panas.” –[al-Hijr: 27]
Daripada ‘Aisyah r.aha. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dicipta malaikat daripada cahaya, dicipta jin daripada lidah api yang menjulang-julang dan dicipta Adam sebagaimana disifatkan kepada kamu semua.” –[Riwayat Muslim]

KENAPA DINAMAKAN JIN?:
Ibn ‘Aqil menyebut dinamakan jin kerana terlindungdan terhijab dari pandangan mata. Perkataan jin berasal daripada perkataan ‘janna’ beerti terlindung atau tidak nampak.
Janin: kerana terlindung di dalam perut ibu.
Jinan: hati, kerana ia terlindung di dalam dada.
Junun: gila, kerana akal telah terlindung atau hilang.
 “Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan kamu tidak dapat melihat mereka.” –[al-A’raf: 27]

NAMA-NAMA JIN:
Abu ‘Umar ibn ‘Abd al-Barr menyatakan: Jin pada percakapan orang ‘Arab ada beberapa peringkat.
Jin: secara umum atau induk.
Amir-‘Ammar: jin yang tinggal bersama manusia.
Arwah: jin yang mengganggu kanak-kanak.
Syaitan: jin yang sangat jahat.
Marid: lebih jahat daripada syaitan.
‘Ifrit-‘Afarit: lebih jahat dan kuat daripada syaitan.
 [Aakam al-Marjan fii Ahkam al-Jann: Badr al-Din bin ‘Abdullah al-Syibli]

JENIS-JENIS JIN:

عن أبي ثعلبة الخشني رضي الله عنه ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : الجن ثلاثة أصناف صنف لهم أجنحة يطيرون في الهواء ، وصنف حيات وكلاب ، وصنف يحلون ويظعنون .- ( الحاكم )

Daripada Abu Tha’labah al-Khasyani r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jin terbahagi kepada tiga jenis: Jenis yang bersayap yang terbang di udara, jenis ular dan kala jengking dan jenis yang menetap dan berpindah randah.” –[Riwayat al-Hakim]

JELMAAN JIN:

Jin dengan izin Allah boleh menjelma dalam beberapa bentuk.
a)    Menyerupai Manusia:
          Hadith Al-Bukhari jin menjelma seorang lelaki mencuri harta zakat yang dijaga oleh Abu Hurairah
Jin juga pernah menjelma dalam bentuk Suraqah bin Malik kepada Musyrikin dan menjanjikan pertolongan kepada mereka ketika peperangan Badar. Firman Allah:
Dan ketika syaitan menjadikan mereka memandang baik pekerjaan mereka dan mengatakan: "tidak ada seorang manusiapun yang dapat menang terhadapmu pada hari ini, dan Sesungguhnya saya ini adalah pelindungmu". Maka tatkala kedua pasukan itu telah dapat saling lihat melihat (berhadapan), syaitan itu balik ke belakang seraya berkata: "Sesungguhnya saya berlepas diri daripada kamu, Sesungguhnya saya dapat melihat apa yang kamu sekalian tidak dapat melihat; sesungguhnya saya takut kepada Allah". dan Allah sangat keras seksa-Nya. [al-Anfal: 48]

b) Dalam Bentuk Haiwan:
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: Jin dapat menyerupai bentuk manusia dan binatang seperti ular, kalajengking, unta, sapi, kambing, kuda, baghal, burung dan anak keturunan Adam.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
الْكَلْبُ الْأَسْوَدُ شَيْطَانٌ.
“Anjing hitam itu adalah syaitan.” –[Riwayat Muslim]

GANGGUAN JIN DAN SYAITAN

Dalil-Dalil Berlakunya Rasukan:
1)  Firman Allah s.a.w.:

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung hayang kerana sentuhan (syaitan) itu.” –[al-Baqarah:275]

Al-Imam al-Qurtubi berkata: Ayat ini menjadi bukti rosaknya pegangan sesiapa yang mengingkari adanya kerasukan jin dan mendakwa kerasukan daripada tindak balas semulajadi, dan syaitan tidak boleh masuk dalam manusia dan tidak boleh merasuk.

2) Daripada hadith riwayat Muslim Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الْإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ.
“Sesungguhnya syaitan memasuki manusia melalui saluran daranya.”

3) Daripada Uthman bin Abi al-‘As r.a. berkata: “Ketika aku berkhidmat kepada Rasulullah s.a.w. menuju ke Taif, sesuatu mengganggu solatku sehingga aku tidak tahu apakah yang aku lakukan dalam solatku. Melihat keadaan itu, aku pergi kepada Rasulullah s.a.w. .Baginda s.a.w. bersabda: Wahai Ibn Abi al-‘As! Aku menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Apakah yang menyebabkan kamu ke mari? Aku berkata: Wahai Rasulullah s.a.w., sesuatu telah mengganggu solatku sehingga aku tidak tahu apa yang aku lakukan dari solatku. Baginda bersabda: Itu adalah syaitan, hampirlah kepadaku. Aku pun menghampiri Baginda s.a.w., maka Baginda memukul dadaku dengan tangannya dan meludah ke dalam mulutku seraya bersabda: Keluarlah wahai musuh Allah! Sebanyak tiga kali dan bersabda: Teruskan kerjamu.” Dan Uthman bin Abi al-‘As berkata: Sepanjang hidupku tiada lagi yang menggangguku setelah itu. -[Ibn Majah]

Syeikh Ibnu Taimiyyah berkata kemasukan jin ke tubuh manusia nyata berlaku disepakati oleh aimmah ahl al-sunnah wal jamaah
Berkata Abdullah bin Imam Ahmad bin Hanbal:aku berkata kepada bapaku sesungguhnya beberapa kaum berkata: sesungguhnya jin tidak masuk ke badan orang yang kerasukan. Maka berkata Imam Ahmad, wahai anakku mereka berdusta dialah (jin) yang bercakap dengan lidah mereka. 

SEBAB-SEBAB SYAITAN MENGGANGGU MANUSIA:
  • Permusuhan Syaitan dengan Manusia
  • Gangguan kerana membalas dendam 
  • Mendorong manusia menuruti hawa nafsu
  • Sengaja menzalimi dan menganiayai manusia
  • Gangguan Asyik

Syeikh Ibnu Taimiyyah ( Majmu’ al – Fatawa ) berkata : “gangguan jin terhadap manusia kadang – kadang kerana hawa nafsu dan asyik ( jatuh cinta ) sebagaimana perkara tersebut berlaku sesama manusia”.
  •      MENYERU JIN

Syeikh Usamah al – Audhi ( Manhaj Qurani fi ‘Ilaj al – Massi wa al – Sihr ) berkata : “gangguan ini amat berbahaya dan yang paling jahat”. Yang dimaksudkan dengan menyeru jin datang kepadanya tanpa disedari. Sebagai contoh : seseorang terjumpa kertas yang tertulis jampi – jampi sihir , kerana ingin tahu dan ingin mencuba dia telah membaca jampi – jampi tersebut yang tanpa disedari telah menyeru jin datang kepadanya.
          
Keadaan manusia yang mudah diganggu Jin dan Syaitan :

1) Ketika mana seseorang itu jauh dari Tuhannya , mengikuti keseronokan nafsu , dan lalai daripada mengingati Allah.
2) Berlakunya maksiat yang menyebabkan seseorang lupa kepada Allah seperti pada majlis yang berlakunya percampuran bebas lelaki dan perempuan , terdapat minuman keras , tarian , nyanyian , muzik serta unsur – unsur maksiat yang lain.
3) Terlalu sedih dan berduka sehingga lupa kepada Allah seperti seseorang yang ditimpa sesuatu musibah atau bala merasa amat sedih dan tertekan sehingga dia lupa bahawa semua yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah Taala.
4) Ketakutan yang amat sangat sehingga lupa kepada pergantungan kepada Allah S.W.T

TANDA – TANDA SESEORANG TERKENA GANGGUAN SYAITAN
1) Tanda – tanda Ketika Jaga
i. Malas mengingati Allah dan malas beribadah. Ini adalah perkara yang sangat disukai oleh syaitan.
ii. Rasa sempit didada dan keras hati. Ini kerana kesan daripada kemaksiatan yang dilakukannya.
iii. Selalu rasa marah dan mahu bermusuhan dengan orang lain. Ini kerana syaitan suka manusia bermusuh sesama mereka , kerana permusuhan akan mengundang kemurkaan Allah.
iv. Menjadi pelupa , ini kerana syaitan berusaha menjadikan manusia lupa dan lalai daripada melakukan kebaikan.
v. Suka menyendiri , kerana syaitan suka manusia memisahkan dirinya daripada orang ramai agar berpecah belah.
vi. Fikiran bercelaru dan bingung . ini kerana orang yang dirasuk syaitan fikirannya bercelaru dan menjadi bingung.
vii. Ketakutan yang luar biasa. Manusia yag dirasuk merasa selalu takut tanpa bersebab dan tidak tahu puncanya.

2)Tanda – tanda Ketika Tidur
i. Berpeluh ketika tidur pada malam hari. Ini kerana syaitan amat aktif dan berkeliaran pada waktu malam.
ii.Mengalami mimpi yang menakutkan kerana mimpi tersebut berpunca daripada gangguan syaitan.
iii. Seseorang yang terkena gangguan syaitan kebiasaannya selalu bermimpi anjing , kucing , ular , kala jengking , atau seumpamanya yang berwarna hitam. Juga sentiasa bermimpi melalui tanah perkuburan , kawasan binatang buas , jatuh dari tempat yang tinggi dengan pelbagai keadaan.
 iv. Ketawa atau bercakap – cakap ketika tidur.
 v. Mengetap gigi ketika tidur

JIN MEMUDHARATKAN MANUSIA:

1) GANGGUAN EMOSI MELALUI MIMPI BURUK:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الرُّؤْيَا ثَلَاثٌ فَبُشْرَى مِنْ اللَّهِ وَحَدِيثُ النَّفْسِ وَتَخْوِيفٌ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا تُعْجِبُهُ فَلْيَقُصَّ إِنْ شَاءَ وَإِنْ رَأَى شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلَا يَقُصَّهُ عَلَى أَحَدٍ وَلْيَقُمْ يُصَلِّي.

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi s.a.w. bersabda: Mimpi tiga jenis; mimpi baik daripada Allah, percakapa\n diri sendiri, gangguan daripada syaitan. Maka sekiranya salah seorang daripada kamu bermimpi sesuatu yang mengagumkannya maka ceritakanlah sekiranya dia menghendaki, sekiranya bermimpi buruk jangan menceritakannya kepada sesiapa dan bangunlah bersolat. [Ibn Majah]

عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ: عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلَاثٌ مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنْ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ...
Daripada ‘Auf bin Malik daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya mimpi itu tiga jenis, daripadanya gangguan daripada syaitan untuk menimbulkan perasaan dukacita anak Adam dengannya. [Ibn Majah]

2) MENYEBABKAN KEBAKARAN:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: جَاءَتْ فَأْرَةٌ فَأَخَذَتْ تَجُرُّ الْفَتِيلَةَ فَجَاءَتْ بِهَا فَأَلْقَتْهَا بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْخُمْرَةِ الَّتِي كَانَ قَاعِدًا عَلَيْهَا فَأَحْرَقَتْ مِنْهَا مِثْلَ مَوْضِعِ الدِّرْهَمِ فَقَالَ إِذَا نِمْتُمْ فَأَطْفِئُوا سُرُجَكُمْ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدُلُّ مِثْلَ هَذِهِ عَلَى هَذَا فَتُحْرِقَكُمْ.

Daripada Ibnu Abbas berkata:telah datang seekor tikus menarik tali sumbu kemudian membawanya dan melepaskan diantara kedua tangan Rasulullah terkena ke atas kain penutup kepala yang dijadikan alas duduk Rasulullah. Maka terbakar kain itu sebesar satu dirham. Maka Rasulullah bersabda: apabila kamu tidur matikan pelita-pelita kamu. Maka sesungguhnya syaitan menunjukkan kepada tikus untuk pergi kepada pelita maka ia menyebabkan kebakaran.-[Riwayat Abu Daud]
 
3) MENGGANGGU BAYI KETIKA DILAHIRKAN:

قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ بَنِي آدَمَ مَوْلُودٌ إِلَّا يَمَسُّهُ الشَّيْطَانُ حِينَ يُولَدُ فَيَسْتَهِلُّ صَارِخًا مِنْ مَسِّ الشَّيْطَانِ غَيْرَ مَرْيَمَ وَابْنِهَا ثُمَّ يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ
{ وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ }

Daripada Abu Hurairah r.a.,aku mendengar Rasulullah bersabda: Tiada seorang pun daripada anak Adam yang dilahirkan melainkan diganggu syaitan ketika dilahirkan. Maka ia pun berteriak dengan kuat kerana diganggu syaitan melainkan Maryam dan anaknya. Kemudian Abu Hurairah terus berdoa dan sesungguhnya aku memperlindungkannya denganmu dan juga zuriatnya daripada syaitan yang direjam.-[Riwayat Muslim]

Sebab dilindungi Maryam dan anaknya Isa a.s. kerana Allah memakbulkan doanya: “dan aku memberinya nama Maryam dan aku memohon perlindungan-Mu untuknya dan zuriatnya daripada gangguan syautan yang terkutuk”[surah Ali-Imran:36]

Sesungguhnya Abu Darda bertanya Alqomah yang merupakan penduduk Kufah:

أَفِيكُمْ الَّذِي أَجَارَهُ اللَّهُ مِنْ الشَّيْطَانِ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قال  المُغِيرَةَ الَّذِي أَجَارَهُ اللَّهُ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْنِي عَمَّارًا.

Adakah dikalangan kamu orang yang terpelihara daripada syaitan yang disebut Rasulullah? Maka berkata al-Mughirah orang yang dipelihara Allah yang disebut Rasulullah ialah Ammar.-[Riwayat Al-Bukhari]

4) MENYEBABKAN TURUN DARAH BAGI WANITA:

Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada seorang wanita yang mengalami istihadhah iaitu Hamnah binti Jahsy:

إِنَّمَا هَذِهِ رَكْضَةٌ مِنْ رَكَضَاتِ الشَّيْطَانِ
Ini adalah pukulan daripada pukulan-pukulan syaitan[Riwayat Abu Daud dan al-Nasai]

5)   Menyebabkan penyakit taun:
الطاعون وخز أعدائكم من الجن, وهو لكم شهادة.
Taun merupakan cucukan musuh-musuh kamu daripada jin dan ia merupakan syahid bagi kamu.[Riwayat al-Hakim]

6) MENYERANG MANUSIA :
Syaitan membawa obor api dan melemparkan ke muka Rasulullah

7) MERASUK PADA SAAT KEMATIAN:

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَدْمِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ التَّرَدِّي،  وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْغَرَقِ وَالْحَرَقِ وَالْهَرَمِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ يَتَخَبَّطَنِي الشَّيْطَانُ عِنْدَ الْمَوْتِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ فِي سَبِيلِكَ مُدْبِرًا، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أَمُوتَ لَدِيغًا .

Ya Allah ! Aku berlindung denganMu daripada kebinasaan , dan aku berlindung denganMu daripada segala macam kerosakan , dan aku berlindung denganMu daripada tenggelam dan terbakar dan lemah kerana tua , dan aku berlindung denganMu daripada dirasuk syaitan ketika maut , dan aku berlindung denganMu daripada mati yang lari daripada jalanMu , dan aku berlindung denganMu daripada mati dipatuk. [ Riwayat Abu Daud dan An-Nasai ]

2 comments:

  1. Aqidah mantap senjata orang beriman... klu ganguan histeria tu ok lagi, sbb nampak dan ini biasanya akan menjadikan kita lebih dekat kpd ALLAH tapi bagaimana dgn gangguan utk syirik kpd ALLAH, melakukan maksiat dan penyakit hati.. itu jauh lagi bahaya...

    nampak benda remeh tapi membawa pengaruh yg cukup besar kpd kehidupan kita....

    ReplyDelete
  2. yup...betul ustaz jubs...tima kasih..peringatan yg membina ^^

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...